CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, May 6, 2011

Kisah Saidina Umar r.a dan anaknya

Pernah suatu hari anak kepada Saidina Umar, Hafsyah bertanya kepada beliau,


"Wahai ayahanda, ada yang mencadangkan supaya jumlah gaji yang ayahanda terima dari Baitulmal dinaikkan sekali ganda daripada yang diterima Abu Bakar as-Siddiq. Apa pendapat ayahanda? 

"Wahai anakku Hafsyah, kamu lebih tahu kehidupan Rasulullah. Ceritakan padaku, pakaian apa yang paling bagus yang pernah dipakai Rasulullah?" tanya Umar al-Khattab pula.

"Sesungguhnya Rasulullah tidak mempunyai banyak pakaian. Ada sepasang pakaian bewarna merah yang paling disukainya. Baginda memakainya pada hari Jumaat dan apabila menerima tetamu," jawab Hafsyah.

"Apakah makanan yang paling lazat yang pernah dimakan oleh Rasulullah?" tanya Umar al-Khattab lagi.

"Roti yang diperbuat daripada tepung barli. Pada suatu hari saya menyapu roti barli dengan minyak sapi dan baginda memakannya dengan berselera sekali tetapi masih membahagikannya kepada tetamu kami," jawab Hafsyah.

"Apakah hamparan yang paling baik yang pernah digunakan Rasulullah di rumahnya?" Umar terus bertanya.

"Sehelai kain tebal. Pada musim panas kain itu dilipat empat dan pada musim sejuk kain itu dilipat dua. Separuh sebagai alas dan separuh dijadikan selimut," jawab Hafsyah.

"Wahai anakku Hafsyah, patutkah ayahanda menjalani kehidupan ini dengan lebih mewah daripada Rasulullah? Walaupun ayahanda ialah seorang khalifah, namun ayahanda mahu mencontohi kehidupan Rasulullah SAW dan tidak mahu lebih daripada itu."

Lalu menangislah Hafsyah apabila mendengar kata-kata ayahnya.

Pengajaran kisah:
Rasulullah telah menunjukkan cara hidup yang terbaik buat umatnya sehinggalah sahabat sendiri mencontohi akhlak mulia baginda. Baginda seorang hamba Allah yang dijanjikan syurga, namun baginda tetap bersederhana dalam kehidupan kerana baginda ingin mendidik umatnya menjadi hamba Allah yang zuhud dan memahami tujuan kehidupan sebenar.

Sebagai manusia, kita sentiasa terdorong dengan hawa nafsu. Kita tidak mengawal nafsu malah membiarkan nafsu mengawal kita. Sebagaimana firman Allah SWT

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang dingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; hartabenda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).
[Ali- Imran : 14]

Ayat ini telah menjelaskan bahawa manusia terpedaya dengan segala macam bentuk nikmat di dunia tanpa berfikir nikmat dan ganjaran yang dijanjikan Allah di akhirat kelak. Penyakit yang menular dikalangan umat Islam madani ialah penyakit 'mencintai dunia' yang menyebabkan kita lupa akan persediaan untuk akhirat. 

Ingatlah sahabat-sahabat sekalian, jikalau anda telah merasai sepuasnya nikmat di dunia ini, adakah anda masih layak memiliki nikmat di akhirat kelak??

Renung-renungkan..::Wallahualam::..

"Tinggalkan cinta dunia, peroleh cinta akhirat"